Ruang tabur jasa kepada masyarakat

AROMA kopi dan coklat menyapa deria bau saat melangkah ke premis dua tingkat yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu. Seorang kanak-kanak kelihatan leka bermain Lego di satu sudut. Sementara di satu lagi ruangan, dua wanita tampak santai menyelak helaian majalah sambil mencicip kopi panas.

Ironinya, mood suasana seakan-akan kafe dengan reka bentuk hiasan dalaman ala hispter itu adalah pemandangan biasa Klinik Medissa yang baru dibuka pada Disember lalu.

Hipster merujuk kepada cabang kebudayaan belia yang menentang arus perdana dari segi gaya hidup, persepsi dan cara berpakaian.

Klinik yang diusahakan pasangan adik-beradik, Dr. Nur Ain Hair Johari dan abangnya, Dr. Yazeed itu berbeza dengan klinik lain kerana menawarkan perkhidmatan yang menggabungkan perkhidmatan pergigian, kesihatan dan rawatan estetik di bawah satu bumbung.

Ia merupakan sebuah model perniagaan berasas perubatan yang jarang-jarang ditemui di negara ini.

Selain itu, dekorasi dalaman klinik berkenaan turut menyuntik aura tenang seolah-olah berada di ruang tamu rumah sendiri. Ini kerana di ruang itu ditempatkan sudut santai yang turut menyediakan air kopi secara percuma untuk para pelanggan dan sudut bacaan serta ruang kanak-kanak bermain.

“Konsep klinik yang kami ketengahkan ini diharapkan membuka mata masyarakat untuk mendapatkan pelbagai rawatan termasuk pergigian.

“Kami juga tidak mengenakan sebarang bayaran sekiranya pelanggan sekadar ingin memeriksa kesihatan gigi mereka,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di klinik berkenaan baru-baru ini.

Nur Ain, 30, berkata, konsep klinik tersebut sedikit sebanyak mengubah stereotaip sebuah pusat perubatan yang sinonim dikaitkan dengan bau ubat dan tempat tumpuan orang sakit.

Imej doktor muda dengan penampilan kasual dan ceria turut mempengaruhi emosi pesakit terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

Prihatin

Doktor gigi itu berkata, pengalaman bertugas selama dua tahun di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru di Johor dan setahun sebagai doktor lokum secara separuh masa banyak mengajar dirinya selok-belok mengurus ragam pesakit yang pelbagai.

Katanya, doktor gigi lazimnya digeruni bukan sahaja oleh kanak-kanak malah segelintir orang dewasa. Golongan itu cenderung menjadikan klinik gigi sebagai opsyen terakhir iaitu dalam keadaan terdesak sahaja.

1233
Tiada caj dikenakan untuk pemeriksaan gigi.

 

Takut menjalani rawatan gigi bukanlah satu perkara luar biasa. Bahkan, akhbar pada tahun 2006 pernah melaporkan lebih 90 peratus rakyat Malaysia takut untuk ke klinik gigi.

Menurut Nur Ain, bagi mendekatkan klinik tersebut dengan masyarakat, pendekatan ruang santai di kawasan menunggu turut memainkan peranan tersendiri.

“Klinik ini terletak di tengah-tengah kawasan perumahan sering menerima kunjungan warga emas. Dengan adanya ruang santai, mereka boleh singgah untuk minum kopi walaupun tidak mendapatkan rawatan di sini.

“Pendek kata, klinik ini sebagai tempat kami mencurah bakti dari segi perubatan dan hubungan sosial bersama masyarakat. Ia bukan sekadar bermatlamat mencari keuntungan sahaja.

Sebagai doktor gigi juga, Nur Ain berhasrat mendidik masyarakat menjaga gigi dengan sempurna.

“Saya biasanya menasihatkan para pesakit daripada mencabut gigi memandangkan ia bukan jalan penyelesaian tunggal.

“Banyak teknik boleh digunakan untuk menyelamatkan gigi antaranya, rawatan akar dan crown. Kebanyakan pesakit menganggap masalah akan selesai jika gigi yang sakit dicabut.

“Saya juga turut menasihatkan ibu bapa untuk membawa anak-anak membuat pemeriksaan gigi bagi membiasakan mereka mendapatkan rawatan dan mengelakkan rasa takut,” katanya.

Inspirasi

Sementara itu, Yazeed, 31, berkata, dekorasi dalaman klinik tersebut adalah curahan ideanya. Bukan itu sahaja, lantai parket kayu meliputi keseluruhan premis itu dipasangnya sendiri.

Malah, sebelum itu, beliau gigih mempelajari ilmu-ilmu kerja pertukangan asas dan pendawaian dengan membuat rujukan daripada mereka yang mahir bagi memastikan ia dilakukan mengikut standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Katanya, kerja mengubah suai bangunan yang disewa itu mengambil masa kira-kira dua bulan dengan perbelanjaan kurang 50 peratus daripada kos sebenar kerana kebanyakan tugas dilakukannya sendiri.

Lulusan Crimea State Medical University, Ukraine itu berkata, terdapat sebuah klinik dalam kawasan kampusnya dahulu menggunakan konsep serupa dengan Klinik Medissa.

Tambahnya, klinik yang dibuka setiap hari itu menerima kunjungan antara 20 hingga 30 pesakit sehari. Beliau turut bercadang memperkenalkan terapi ozon iaitu rawatan mencuci darah di kliniknya tidak lama lagi.

1234
Bekerja di klinik sendiri membolehkan Yazeed mempunyai waktu kerja fleksibel dan dapat memberi lebih tumpuan kepada pesakitnya.

 

“Saya mula berfikir secara serius untuk membuka klinik sendiri pada tahun 2014 dan mengambil masa kira-kira setahun untuk menyiapkannya.

“Saya memang sudah lama menyimpan impian membuka sebuah klinik yang sangat dekat dengan masyarakat, sekali gus dapat memberi tumpuan lebih kepada pesakit,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Pernah berkhidmat di Hospital Ampang dan Institut Kanser Negara di Putrajaya, beliau mempunyai pengalaman bertugas di bahagian pembedahan onkologi dan endokrin di samping sering terlibat dalam pembedahan am.

Kebajikan

Beliau juga mempunyai lesen penuh Persekutuan Perlumbaan Antarabangsa (FIA) selaku doktor perubatan sukan permotoran.

Katanya, bekerja sendiri membuatkan beliau lebih bebas merancang aktiviti berteras kebajikan dan operasi pengurusan klinik mengikut acuan yang dikehendaki.

Anak sulung daripada empat beradik itu berpendapat, rezeki adalah kurniaan Allah dan patut dikongsi bersama masyarakat sebagai tanda kesyukuran.

Tidak berhasrat menoleh ke belakang, Yazeed kini sedang mengumpul data warga emas dan insan kurang berkemampuan untuk memulakan projek pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah secara percuma.

“Saya bekerjasama dengan kariah masjid di samping mendapatkan maklumat mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat berdekatan.

“Saya turut mencari pesakit terlantar yang mengalami kesukaran dan tidak mampu berulang-alik ke hospital. Antara perkhidmatan yang saya berikan termasuklah membersihkan luka atau bantuan lain yang difikirkan sesuai untuk mereka,” ujarnya.

 

Source:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0502&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_01.htm

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s